Sunday, 8 May 2011

WANITA MENCARI JODOH: Apakah Kriteria Lelaki Yang Paling Ideal?

Dipetik dari http://zainul.com/khutbah.htm

Sering kita mendengar maksud sepotong hadith yang berbunyi, “Dikahwini
wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya,
keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam
pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Secara umumnya hadith ini menyenaraikan tentang ciri-ciri wanita yang
biasanya menarik perhatian lelaki untuk dijadikan calon isteri. Wanita yang kaya,
berharta, berdarjat tinggi dancantik jelita adalah pakej lengkap yang meruntun
hati kaum lelaki untuk menyuntingnya.
Namun yang lebih penting hadith di atas menyarankan kepada kaum lelaki
agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri “kuat penghayatan agamanya”. Ini
disebabkan wanita yang melaksanakan segala ajaran agama akan memberikan
pengaruh serta kesan yang besar terhadap kebahagiaan hidup berumahtangga.
Bagaimana pula ciri-ciri lelaki yang baik untuk dijadikan suami? Jika
hadith di atas memberi panduan kepada kaum lelaki dalam memilih bakal isteri
mereka, maka di samping itu Islam juga memberi panduan kepada kaum wanita
dalam memilih bakal suami mereka.
Hal ini disebabkan aspek memilih jodoh bukanlah perkara yang boleh
dipandang mudah. Ia tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru atau tanpa
penilitian yang mendalam. Ini disebabkan perkahwinan melibatkan soal
kehidupan, zuriat, hak, tanggungjawab dan kasih sayang yang bakal kita jalani
besama dengan pasangan.
Lebih-lebih lagi bagi seorang wanita, ia perlu menyelidik terlebih dahulu
latar belakang bakal suaminya dari segi akhlak serta penghayatan agamanya.
Ini kerana menurut kajian, kaum wanitalah yang paling teruk menerima kesan
buruk apabila suami mengabaikan hak isteri, tidak mempergauli isteri dengan
baik, curang, tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan
sebagainya.
Adalah menjadi kewajipan ibu bapa memberikan panduan yang baik bagi
anak-anak perempuan mereka mencari bakal suami dari kalangan lelaki yang
berakhlak tinggi dan taat pada ajaran agama. Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu
dan kamu redha (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah
dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan
berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.
Sesungguhnya sifat-sifat inilah (baik akhlak dan agama) yang mesti
dijadikan kriteria utama di dalam memilih bakal suami sebelum dilihat atau dipilih
pada sudut harta, pangkat dan kedudukan lelaki tersebut. Lelaki yang
sederhana kehidupannnya tetapi berakhlak mulia serta taat melaksanakan segala
perintah Allah SWT dan rasul-Nya itulah sebenarnya seorang yang kaya,
sebaliknya lelaki fasik (ingkar kepada suruhan Allah SWT ) walaupun hidup kaya
raya, hakikatnya ia adalah miskin.
Mengapa demikian? Kerana kefasikan hidup akan melesapkan harta
kekayaan melalui aktiviti perujudian, minuman keras, berkunjung ke tempattempat
maksiat, berfoya-foya dan sebagainya. Hak-hak isteri dengan sendirinya
hilang dan terabai. Isteri hidup dalam tekanan perasaan kerana tanggungjawab
terhadap keluarga dan anak-anak dilupakan. Inilah yang dimaksudkan oleh
Rasulullah SAW dalam hadis di atas sebagai “fitnah di muka bumi dan kerosakan
yang besar”.
Suami yang hidup dalam kefasikan bermakna mengundang murka Allah
SWT. Jika Allah SWT sudah murka, bagaimanakah rahmat dan keberkatan hidup
berumahtangga akan dapat dinikmati?
Diriwayatkan dalam sebuah kisah, seorang lelaki datang menemui Hasan
bin Ali RA (cucu Rasulullah SAW) untuk meminta nasihat. Katanya, “Anak
perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki. Dengan lelaki yang
bagaimanakah yang layak dikahwinkan dengan puteriku?” Hasan menjawab,
“Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, kerana jika ia
menyukai isterinya ia pasti mengasihinya, teteapi jika ia tidak menyukai isterinya
pasti ia tidak akan berlaku zalim terhadapnya (tetap menghormati isterinya)”.
Prof. Dr. Miqdad Yaljan dalam bukunya bertajuk “al-Bayt al-Islami Kama
Yanbaghi An Yakun” menulis: Soal perkahwinan adalah persoalan hidup
keseluruhannya. Lebih-lebih lagi kaum wanita dalam membuat penelitian
terhadap bakal suami. Ini kerana kuasa talak terletak di tangan suami mereka.
Menurut beliau lagi, sekiranya perceraian berlaku, ia akan lebih
mendatangkan kemudaratan kepada wanita berbanding lelaki sama ada dari
sudut sosial, psikologi dan ekonomi. Tambahan lagi pandangan negatif
sesetengah masyarakat kepada wanita bergelar janda menambahkan lagi
tekanan perasaan mereka. Malah perasaan malu akibat perceraian lebih dirasai
oleh golongan wanita berbanding lelaki.
Rasulullah SAW juga amat benci kepada mana-mana bapa (atau wali)
yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang fasik. Baginda
mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang menikahkan
anak perempuannya dengan lelaki fasiq bererti ia telah memutuskan hubungan
silaturrahim dengan anaknya sendiri”.
Lihatlah betapa tegasnya Rasulullah SAW dalam menggesa para ibu bapa
agar mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang beriman dan
menjauhi dari mengahwinkannya dengan lelaki yang fasik.
Apakah fitnah atau malapetaka yang lebih besar selain daripada
menikahkan anak-anak yang berjiwa bersih, berperibadi mulia dan taat
menjalankan suruhan agama dengan lelaki yang tidak menghiraukan perintah
Allah SWT dan bergelumang pula dengan maksiat?
Kita melihat bahawa berapa ramai anak-anak perempuan yang ketika
berada di bawah naungan keluarganya tidak pernah melakukan maksiat, tetapi
apabila berkahwin dengan lelaki fasik, mereka terus hanyut dalam arus maksiat
yang diterajui oleh suami mereka sendiri.
Gadis yang pada mulanya berperibadi mulia, akhirnya terseret jauh oleh
kesesatan suaminya. Memakai pakaian yang mendedahkan aurat, meninggalkan
solat dan bentuk-bentuk ibadah lainnya. Semua ini jelas merupakan kerugian
yang nyata sekali bagi dirinya.
Oleh sebab itu, amat wajarlah Rasulullah SAW menghukum mana-mana
bapa atau wali yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang
fasik, yang seolah-olah dia memutuskan hubungan silaturrahim dengan anak
perempuannya sendiri.
Kesimpulannya, kaum wanita perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam soal
pemilihan jodoh. Ini kerana perkahwinan bukanlah kontrak perniagaan yang
berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi ia merupakan “ikatan sosial”
yang merangkumi pelbagai aspek kemanusiaan seperti pertalian jiwa, kasih
sayang, ketenangan hati, tuntutan biologi, nasab keturunan, hak,
tanggungjawab, toleransi dan sebagainya.
Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orangorang
bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang
soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki mahupun perempuan. Jika mereka miskin,
Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dengan limpah kurniaan-Nya,
kerana Allah Maha Luas rahmat-Nya lagi Maha Mengetahui”. (an-Nur: 32).

No comments:

Post a Comment

Post a Comment